Projek Modul PAK

Pengenalan / Objektif

Keputusan PISA pada tahun 2009, 2012 dan 2015, menunjukkan pencapaian murid dalam literasi bacaan di Malaysia berada pada tangga ke- 52, ke-59 dan tangga yang ke-52, daripada 76 buah negara. Hal ini menyebabkan satu daripada National Key Result Area (NKRA) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah semua murid berkeupayaan untuk menguasai asas Literasi dan Numerasi kecuali murid berkeperluan khas selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Di bawah anjakan kedua.) Oleh itu, objektif inovasi ini ialah untuk membantu meningkatkan penguasaan literasi bacaan dalam kalangan murid LINUS (Program Saringan Literasi dan Numerasi) bagi memenuhi NKRA KPM.

Keunikan Idea Inovasi

Keunikan idea inovasi ini ialah kaedah yang digunakan iaitu pengembaraan atau penerokaan di luar bilik darjah yang diinspirasikan melalui kisah Nabi Musa menuntut ilmu daripada Nabi Khidir seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran dalam surah al-Kahfi ayat 60 – 82. Keunikan idea inovasi ini kerana berbentuk “modul pembelajaran” khas untuk murid-murid pemulihan yang tiga tahun di sekolah rendah belum dapat membaca. Modul ini lengkap mengandungi 12 kontruk kemahiran murid LINUS yang sepatutnya dikuasai seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Data atau bukti keberkesanan kaedah ini telah dijalankan melalui kajian eksperimen kuasi, dan dapatan menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pencapaian murid LINUS dengan menggunakan kaedah Al-Kahfi berbanding Kaedah Belajar Konvensional di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Samarahan, Sarawak. Keberkesanan kos dari segi masa, ialah idea inovasi ini dapat membantu murid-murid LINUS berkeupayaan menguasai literasi bacaan hanya 24 hari sahaja berbanding 1,095 hari atau 36 bulan. Kebolehpasaran inovasi ini ialah modul ini telah diterbitkan dengan cetakan pertama sebanyak 500 naskhah manakala modul ini juga boleh boleh dibeli dalam talian dalam “http://myshop.pi1m.my/products/13389”. Kebolehpasaran inovasi berskala besar telah telah dimulakan pada tahun 2017 hingga 2018 melibatkan tempoh setahun iaitu projek meningkatkan penguasaan kemahiran literasi bacaan dalam kalangan murid LINUS. Projek ini melibatkan 24 buah sekolah di Dalat, melibatkan 6 enam kali kursus dan bimbingan, dan setiap satunya melibatkan tempoh masa empat hari.

Pemindahan ilmu dan kemahiran ini telah dilaksanakan dengan melibatkan perkongsian idea ini dengan guru-guru di beberapa PPD di Sarawak seperti guru-guru PPD Samarahan, PPD Padawan, PPD Simunjan, PPD Sibu, PPD Sri Aman, PPD Sarikei, PPD Dalat, SK Kampung Baru, dan IPGK Tun Abdul Razak. Modul ini juga sudah dikongsikan di SK Koporingan, Sabah dan di IPG Kent, Sabah pada tahun 2016. Pemindahan ilmu dan kemahiran juga dilakukan apabila inovasi modul ini telah dikongsikan melalui pertandingan inovasi di peringkat Wilayah Sabah Sarawak, Peringkat Kebangsaan dan yang akhir sekali ialah di peringkat antarabangsa  ketika perkongsian inovasi melalui pertandingan di Padang, Indonesia.

Kesimpulan

Kejayaan inovasi ini dapat diperlihatkan dengan kejayaan yang diperoleh sepanjang tahun 2016 dan 2017 iaitu Dua Bintang dalam Konvensyen KIK di peringkat negeri anjuran Jabatan Ketua Menteri, Pingat Emas Team Excellence MPC di peringkat wilayah Sabah dan Sarawak, Pingat Emas Tiga Bintang peringkat kebangsaan dalam Annual Productivity & Innovation Conference And Exposition (APIC) 2016, dan terplih ke peringkat antarabangsa di Padang Indonesia dengan memperoleh Pingat Emas pada penghujung November ini tadi. Selain itu, inovasi ini juga berjaya memenangi Johan dalam Kategori Awam – Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif High Impact 2016 Zon Sarawak, dan seterus juga telah diberikan geran khas sebanyak RM120,000.00 oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai usaha memperluas kaedah ini di peringkat sekolah.